Akhir-akhir ini masyarakat dunia heboh memperkatakan tentang tarikh berlakunya hari kiamat. Di ruang internet, malahan televisyen, sibuk memperkatakan bahawa kiamat akan berlaku pada hari ini iaitu Jumaat bertarikh 21.12.2012.
Tarikh 21.12.2012 disebut-sebut, akan menjadi tarikh yang menakutkan kerana pada tarikh inilah, kiamat akan berlaku. Tarikh ini pada asalnya disandarkan pada satu kalendar masyarakat Mayan yang hidup satu ketika dulu di selatan Mexico. Mereka dikatakan menguasai ilmu falak sehingga telah meninggalkan banyak hasil peradaban mereka terutamanya sistem kalendar yang digunakan. Menurut mereka yang mendakwa telah mengkaji kalendar Mayan ini, kalendar ini ia akan tamat pada tahun 2012. Tarikh 21.12.2012 pula ditetapkan sebagai permulaan berlakunya satu perubahan besar pada alam ini dan ianya ditafsirkan sebagai kemusnahan alam ini atau berlakunya kiamat.
Cerita ini kemudian ditokok tambah dengan kononnya NASA iaitu sebuah agensi angkasa di Amerika Syarikat telah menyatakan bahawa kemunculan sebuah planet bernama NiBiru yang akan menghentam bumi pada hari ini. Saiz planetini teramat besar sehingga mencapai 20 kali ganda lebih besar dari planet Musytari. Pada mulanya planet ini dijangkakan akan menghentam bumi pada Mei 2003, tetapi setelah tiada apa pun yang berlaku maka timbul pula tarikh jangkaan seterusnya iaitu 21 Disember 2012.
Begitu juga dengan sebuah lagi berita yang dikaitkan juga dengan NASA, bahawa bumi ini akan bergelap selama 3 hari, bermula 23, 24 dan 25 Disember 2012. Ini disebabkan berlakunya “Penjajaran Alam Semesta“, di mana matahari dan bumi akan berada pada satu garis lurus untuk pertama kalinya. Bumi akan berubah kedudukannya berbanding sekarang. Seluruh alam akan menghadapi perubahan besar, dan kita akan melihat dunia yang baru. Dunia gelap tanpa sinar, tanpa cahaya matahari.
Sebagai seorang mukmin, kita telah diajarkan untuk menapis dan mempertimbangkan segala maklumat yang diperolehi agar kesahihannya dapat disabitkan berdasarkan Al-Quran dan Hadis.Dakwaan pertama yang mengaitkan tarikh kiamat dengan kalendar Mayan sebenarnya timbul dari penafsiran pengkaji semata-mata. Ini kerana di dalam kalender tersebut tidak menyebutkan pun bahawa dunia ini akan kiamat pada tahun 2012. Catatan di kalendar hanya menyatakan tahun 2012 diletakkan sebagai tahun terakhir dalam pusingan kalender tersebut. Ini bermakna bagi tahun 2013, ia perlu dimulakan semula berdasarkan kiraan permulaan kalender seperti mana kalendar-kalendar lain.
Dakwaan kedua yang menyatakan bahawa planet Nibiru akan melanggar bumi juga merupakan satu dakwaan yang tidak mempunyai sebarang asas. Jika fakta ini telah disandarkan kepada NASA, pihak NASA telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi bahawa mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tersebut. Tambahan pula dengan saiz Nibiru yang sangat besar iaitu 20 kali ganda saiz Musytari, tidak munasabah sekiranya semua balai balai cerap dan ratusan ribu ahli falak di seluruh dunia tidak dapat mengesan planet ini dengan teleskop mereka. Apatah lagi dengan langit yang terbuka luas untuk sesiapa saja meneropong dan mengkajinya.
Dakwaan ketiga iaitu bumi akan bergelap selama 3 hari, juga telah dinafikan oleh Pihak NASA bahawa mereka atau mana-mana organisasi astronomi pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu. Penjajaran planet-planet yang dikatakan akan berlaku juga hanya merupakan khabar angin semata-mata.
Berdasarkan kajian ahli-ahli falak, penjajaran ini tidak akan berlaku. Apa yang akan berlaku ialah pada 21 Disember, matahari akan berada di sebelah selatan pada garis lintang 21 darjah yang menandakan peralihan musim luruh ke musim sejuk, dan ianya adalah satu fenomena biasa yang berlaku pada setiap tahun.
Berdasarkan beberapa hujah di atas maka dapat kita simpulkan bahawa, ramalan kiamat akan berlaku pada hari ini, Jumaat 21.12.2012 adalah tidak berasas. Perbincangan mengenai Hari Kiamat bukan seperti perbincangan mengenai alam ghaib yang lain, malah ianya juga dikaji dan dibuktikan secara saintifik.
Namun tidak ada manfaatnya kita mengetahui tarikh berlakunya Hari Kiamat jika tidak ada sebarang usaha untuk menyediakan bekalan bagi menghadapinya. Terlalu banyak masa yang kita bazirkan dengan membahaskan tarikh berlakunya Kiamat jika tidak ada keinsafan dalam diri bahawa kita semua pasti akanmelaluinya. Terlalu banyak ayat Al-Quran dan Hadis nabi yang sahih menceritakan tentang kiamat dan persediaan menghadapinya, namun tidak kita pedulikan. Marilah kita mengubah sikap daripada terlalu mengambil berat tentang tarikh berlakunya Kiamat kepada bersungguh-sunguh membuat persediaan bagi menghadapinya.
No comments:
Post a Comment