Wednesday 2 January 2013

Banjir Di Negeri Pantai Timur Semakin Pulih

Keadaan negeri-negeri pantai timur semakin pulih dari bencana musim banjir yang melanda berikutan musim cuaca tengkujuh  yang menyebabkan hujan turun berterusan selama seminggu.



Berdasarkan portal Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) , jumlah terkini keseluruhan mangsa banjir yang dipindahkan ialah 22,622 berbanding 23,307 orang malam tadi.

Di Terengganu, seramai 17,246 mangsa kini berada di 49 pusat pemindahan berbanding 18,531 orang dengan 62 pusat pemindahan masih beroperasi sehingga malam tadi.


Ia membabitkan 22 pusat pemindahan di Dungun, 19 di Kemaman, Kuala Terengganu dengan enam pusat pemindahan manakala Hulu Terengganu serta Marang masing-masing mencatatkan satu pusat pemindahan.

Hanya satu laluan masih ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Kilometer 8, Jalan Tepoh-Kuala Jengai berdekatan Bandar Al-Muktafi Billah Shah.

Paras air sungai di seluruh Terengganu pula dilaporkan berada pada paras normal setakat ini.

Di Kelantan, jumlah mangsa mencatatkan sedikit peningkatan dengan pagi ini seramai 4,996 orang dipindahkan di enam pusat pemindahan berbanding 4,594 berbanding semalam.
Sungai Golok di Rantau Panjang masih mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 9.81 meter (bahaya 9 meter), namun ia semakin surut. Sungai-sungai lain pula sudah kembali ke paras normal.

Banjir di Pahang pula kembali pulih dan semua pusat pemindahan ditutup apabila keadaan banjir semakin surut di semua kawasan yang terjejas.

No comments:

Post a Comment